Thursday, March 01, 2007

Jagalah Solatmu

Aku tengok Aman begitu keletihan ketika pulang dari sekolah. Aku ambil dia pulang pukul 10:00 malam. Sehari suntuk dia di sekolah, kemudian malamnya pula ada kelas tambahan Chemistry. Memang sepatutnya dia letih. Esok ada lagi kelas tambahan Add Math. Tahun ni dia akan ambil SPM. Adiknya Rashid pula nak ambil PMR. Bukan mereka sahaja yang penat, aku dan isteri juga terpaksa berkorban dan berusaha untuk membantu mereka berdua. Kakak mereka berdua pula sedang berdebar-debar menunggu keputusan SPM...
"Aman balik nanti solat Isya' dulu !" Aku mengingatkan Aman yang sedang terlentuk di kerusi belakang. Tak ada jawapan. "Dah tertidur agaknya" bisik hati kecilku. Adik-adiknya yang mengikut kami tadi semuanya dah terbaring kat bahagian belakang. Selalunya kalau mereka jaga, penat nak melayan kerenah budak kembar tu.
"Bangun! Bangun! Dah sampai kat rumah", isteri aku mengejutkan anak-anak yang dah lama berdengkur dalam kereta. "Jangan lupa solat Isya' dulu", dia mengingatkan Aman sekali lagi. Aman melangkah masuk dan terus ke biliknya. Aku pula sibuk menutup pagar dan mengunci rumah.
Aku masuk ke rumah dan menjenguk bilik Aman. Dia dah terlentang atas katil. Aku goyang-goyangkan kakinya untuk mengejutkan dia bangun solat. Belum juga dia nak bangun. "Isshh, susah betul nak kejut budak ni !" "Nanti Umi kejut Aman bangun solat," aku ingatkan isteri yang sedang baca majalah.
Memang susah nak mendidik anak-anak menjaga solat mereka. Di sekolah mereka diajar bersolat jemaah waktu Zuhur dan Asar. Dari mula mereka bersekolah darjah satu, sehinggalah sekarang ini solat adalah perkara yang paling diutamakan. Aku selalu cakap, apalah susah sangat nak solat? Bukannya ambil masa berjam-jam. Paling lama mungkin 10-15 minit. Itu sahaja. Dah tu, bukannya kena solat 50 kali satu hari... cuma 5 kali saja, dan pahalanya seperti bersolat 50 kali ! Itu pun tak boleh nak jaga.
Solat adalah tiang agama. Kalau tidak mendirikan solat bermakna kita meruntuhkan agama. Bahkan solat merupakan garis pemisah antara orang Islam dan bukan Islam. Kita bersolat kerana perintah Allah dan Rasul untuk menyatakan pengabdian kita dan kesyukuran kita kepada Allah. Dengan kita bersolat tidak akan menambahkan keagungan Allah, dan kalau kita tidak menunaikan solat ianya tidak akan mengurangkan kekayaaan Allah sedikitpun. Rasulullah bersolat sehingga bengkak kakinya, sedangkan baginda seorang insan mulia yang dibersihkan Allah dari sebarang dosa.
Aku begitu sedih melihat umat Islam sekarang yang mengambil mudah tentang solat. Ramai sungguh yang tak solat. Seolah-olah solat itu tidak mempunyai sebarang makna bagi mereka. Kalau mesyuarat, kita ada coffee break, tea break dan macam-macam break lagi, tapi kita tak ada pun solat break ! Tanpa solat, dimana letaknya perbezaan kita dengan orang kafir? Dimana letaknya kesyukuran kita kepada Allah? Sedangkan setiap detik kita berjalan di atas bumi Allah, menghirup udara ciptaan Allah, makan rezeki yang Allah berikan, melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, berfikir dengan akal yang semuanya diberikan kepada kita secara percuma! Maka... berterima kasihlah, bersyukurlah kepada Allah. Susah sangatkah ?
Azan Subuh sayup-sayup kedengaran. Aku nampak Aman bergegas keluar dari biliknya. "Abah!, Aman tak sempat solat Isya' ", katanya separuh berbisik.


Aku merenung wajahnya tanpa sepatah perkataan. Tergambar seribu kekesalan...

0 comments: