Friday, March 23, 2007

Jalan-Jalan Balik Kampung

Sudah agak lama aku tidak balik ke kampung. Kali terakhir adalah semasa Hari Raya Haji yang lalu. Aku mengambil kesempatan cuti sekolah selama seminggu untuk menjenguk ibu dan mak saudara aku yang uzur. Kali ini, aku cuma balik dengan isteri dan dua orang anak kembar saja. Yang lain-lain sibuk dengan program masing-masing. Yang perempuan ikut nenek dia orang ke Pulau Tioman, manakala yang lelaki pula penuh dengan program sekolah dan tuisyen.

"Kali ni kita rilek-rilek sikit la ye, tak payah nak cepat-cepat, lagipun kita berempat je", kataku pada isteri. " Kami balik ikut jalan pantai timur. Memang aku suka ikut jalan pantai kerana pemandangan dan suasana yang nyaman. Kurang sikit rasa penat memandu. Kami bertolak pukul 12 tengahari dan perjalanan ke Kuantan melalui lebuhraya mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah, berbanding dengan 4 jam sebelum ini. Tapi, kenalah bayar tol lebih dari RM20. Itu pun setakat Kuantan sahaja, belum lagi ke Terengganu.

Kami singgah sekejap di Telok Cempedak. Memang dah lama aku tak ke sini. Kali terakhir pada tahun 1992. Sememangnya pantai Telok Cempedak masih cantik dan indah dan masih ramai lagi pengunjung yang datang. Masa tidak mengizinkan untuk kami berada lebih lama di situ kerana kami perlu sampai di Marang sebelum 8 malam. Kalau tak, bilik di Seri Malaysia kena cancel. Kami tiba di Marang hampir jam 8 dan makan di sebuah restoran di Kelulut. Walaupun meja kami berhampiran dengan pantai, tidak ada apa yang dapat dilihat kerana malam yang agak gelap. Cuma kedengaran desiran ombak yang memecah pantai.

Keesokan paginya, aku bergegas ke pantai untuk menunggu matahari terbit. Dan sememangnya aku begitu tertarik dengan keindahan pagi di pantai Marang. Bot nelayan yang bergerak ke laut dan sinaran matahari yang kemerahan mengingatkan aku saat aku membesar di Bachok dahulu. Saat yang begitu indah, penuh kegembiraan, tanpa kerunsingan...

Aku sempat berhenti di sebuah perkampungan nelayan. Bot-bot tersadai di tebing sungai kerana air surut. Beberapa orang nelayan sedang bersantai sambil menghisap rokok daun. Dah lama aku tak bau asap rokok daun. "Memang pagi-pagi kami dok sini la. Doh jadi tabiat", kata salah seorang dari mereka. Aku hanya tersenyum sambil mengangguk.

Dalam perjalanan ke Kota Bharu, kami singgah sekejap di Kuala Ibai, tempat keropok lekor 007 yang memang terkenal. Sempat juga aku mengambil gambar Masjid Tengku Tengah Zaharah ataupun lebih dikenali sebagai Masjid Terapung. Di tepi pantai Kuala Ibai, ramai keluarga yang bersantai sambil menikmati suasana pagi. Anak-anak berlari-lari di air cetek kembali mengingatkan aku ketika aku kecil dahulu....

Kami meneruskan perjalanan pulang ke Kelantan melalui laluan Tok Bali. Perjalanan kali ini mengambil masa hampir 2 hari dibandingkan dengan 8 jam melalui jalan Gua Musang. Namun ianya amat menyeronokkan kerana kami dapat melihat keindahan pantai dan suasana kehidupan masyarakat dari pelbagai bangsa dan lapisan. Tak ketinggalan juga, makanan yang enak.
Sememangnya Malaysia ini sungguh bertuah. Kedamaian, kemakmuran serta keindahannya menjadikan tanah ini yang diterbaik. Maka, marilah kita bersyukur pada Illahi atas kurniaanNya...

0 comments: