Wednesday, April 11, 2007

Aku Kan Merinduimu

Dah lebih dua minggu Mak Sah pergi. Aku macam tak percaya walaupun aku tahu dia uzur. Tiba-tiba saja dia dah tak ada. Masa aku balik ziarah dia dulu, dia nampak agak sihat. Seperti biasa, dia sentiasa senyum melihat aku dan melayan kerenah anak kembar aku. Seperti biasa juga, aku peluk dan cium dia sebelum kami melangkah untuk balik. Itulah pelukan dan ciuman terakhir buat Mak Sah. Duit RM50 yang aku berikan digenggam erat. Aku tahu, Mak Sah bukan nak duit. Itu cuma tanda ingatan aku padanya.

"Yang ni anak siapa?" Mak Sah tanya anak kembar aku. Memang dia selalu tanya macam tu. "Abah ni pun anak Mak Sah juga", katanya pada anak-anak aku. Begitulah anggapan dia pada aku. Memang Mak Sah ada bersama aku dari aku lahir sehinggalah aku berumahtangga dan punya anak. Mak Sah tahu setiap perjalanan hidup aku dari kecil hingga dewasa. Mak Sah mengerti perasaan dan kehendak hati aku. Mak Sah tahu makanan kesukaan aku. Sebab itulah Mak Sah kata aku ni anak dia juga. Dan bagi aku, Mak Sah juga seperti ibu aku yang aku sangat sayangi...kini dia dah tak ada lagi.

Aku bergegas balik selepas menerima panggilan yang Mak Sah sudah meninggal, kira-kira seminggu selepas aku menziarahinya. Mengikut ibu aku, Mak Sah agak risau dua tiga hari sebelum itu kerana duit RM50 yang aku bagi dulu hilang. Aku tahu bukan pasal nilai duit itu, tapi sebab duit itu aku yang bagi. Mak Sah... Mak Sah. Setiap kali aku datang ke rumahnya, dia akan sediakan makanan dan kopi o. Dia tahu aku suka kopi o dia. Dia juga tahu aku suka kuih yang dia buat. Sekarang Mak Sah sudah tiada lagi...

Hidup Mak Sah penuh dengan pelbagai kepayahan. Suaminya meninggal kira-kira 30 tahun yang lalu. Mak Sah lah yang menjadi ibu dan ayah kepada anak-anaknya. Pagi-pagi Mak Sah buat kuih untuk dijual. Lepas tu, pergi ke sawah menanam tembakau. Tubuh kerdilnya bukan menjadi halangan. Semangatnya begitu kental. Semuanya itu masih jelas di pandanganku.

Aku lihat jenazah Mak Sah kurus kerdil. Inilah seorang ibu yang gigih membesarkan anak-anak. Juga memberikan kasih sayang pada anak-anak saudaranya. Memang tidak akan ada pengganti Mak Sah. Ketika aku peluk dan cium dahinya, terasa sejuk badan Mak Sah. Tiada lagi kehangatan dan kemesraannya. Tiada lagi senyumannya. Tiada lagi segala-galanya. Mak Sah dah pergi dan dia takkan kembali lagi.

Berehatlah Mak Sah. Semoga Allah mengampunimu, merahmatimu dan meletakkan rohmu bersama orang-orang yang soleh. Airmata aku mengalir deras tanpa dipaksa.

Aku pastinya akan sentiasa merindui Mak Sah....

5 comments:

Bustaman said...

Thaniah! Anda telah dipilih memenangi
Thinking Bloggers Award.
http://bustamann.blogspot.com/2007/04/tagged-youre-it.html

Ku Keng said...

Innalillah buat Mak Sah.

Atok said...

alfatihah buat Mak Sah ...

salam perkenalan, blog hopping from pokku's.

Awang Dondang said...

Terima kasih Pok Ku.

Juga terima kasih kepada ku keng dan atok kerana sudi melawat.

Anonymous said...

Sedih. Rindu sebenarnya. Sebab amad tak sempat jumpa mak sah lama2. Etahun sekali je. Kali terakhir lepas majlis kawin tahun lepas, mujurlah sempat singgah minum teh rumah mak sah dgn alia, alhamdulillah sempatlah Alia kenal mak sah. Moga rohnya dicucuri rahmat, dan dilimpahi doa dari anak cucunya (y mudah-mudahan soleh dan solehah). ameen

-fahd razy-