Thursday, October 04, 2007

Pengabdian Hakiki


Submission, originally uploaded by awe2020.

Ramadhan telah masuk ke 10 hari terakhir. Masjid-masjid menjadi semakin lengang tidak seperti di awal Ramadhan. Beginilah saban tahun. Apabila berakhirnya Ramadhan nanti, solat jemaah di masjid akan hanya ada dua atau tiga saf sahaja. Itupun kebanyakannya adalah dari kalangan warga emas. Semangat Ramadhan sudah tidak dirasai lagi.

Kadang-kadang aku terfikir juga, apakah kita ini "menyembah" Ramadhan atau menyembah Allah? Kalau kita menyembah Allah, maka tidak kira apa bulannya, pasti kita akan istiqamah melaksanakan perintah Allah samada solat berjemaah, meninggalkan sifat-sifat yang buruk ataupun berbuat baik sesama manusia. Cuma di bulan Ramadhan kita menambahkan lagi amalan kita kerana ganjaran yang Allah berikan adalah berlipat ganda banyaknya di bulan Ramadhan ini, terutama sekali di 10 hari terakhir.

Rasulullah s.a.w, apabila tibanya 10 hari terakhir, baginda akan beri'ktikaf di masjid serta membangunkan ahli keluarganya untuk sama-sama melakukan qiamullail. Apabila Ramadhan hampir berakhir, maka menangislah para sahabat kerana berakhirnya bulan yang penuh keberkatan dan mereka tidak pasti samada akan dapat bertemu Ramadhan di masa hadapan.

Berbeza sekali dengan diri kita yang bergembira menyambut berakhirnya Ramadhan kerana kita dapat berhari raya dan terlepas dari segala pantang larang di bulan Ramadhan. Di hari-hari akhir, kita mula sibuk dengan persiapan untuk berhari raya, samada membuat kuih muih, membeli pakaian serta perhiasan rumah yang baru dan macam-macam lagi. Seolah-olah hari-hari terakhir Ramadhan ini tidak ada makna buat kita. Seolah-olah kita tidak begitu mengambil peduli untuk mendapatkan Lailatul Qadr... malam yang Allah janjikan lebih baik dari seribu bulan.

Beginilah saban tahun kita biarkan segalanya berlalu begitu saja tanpa sebarang penyesalan. Apakah kita berasa yakin yang kita akan hidup lagi di tahun hadapan? Atau mungkin kita merasa amalan kebajikan kita sudah cukup untuk bertemu Illahi? Hanya kita sendiri yang mampu menjawabnya.

Semoga hari-hari terakhir ini dapat kita manafaatkan dengan sebaik-baiknya demi untuk mencari keredhaan Allah. Semoga kita akan termasuk ke dalam golongan orang-orang yang akan bertemu Allah dengan jiwa yang tenang...

"Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!"

Al Fajr 27-30

1 comments:

Ayu Amiza Abdul Malik said...

salam pakcik..saya kawan iman..
sedeyh bace entry pakcik pasal 10 ramadhan terakhir kt malaysia..

kalau saff perempuan lagik obvious pakcik,makin nak raya makin rancak buat kuih sampai tak ke masjid terawikh..

mesir lain pakcik,sangat2 lain..
10 malam terakhir umpama pesta..
org berkampung kat masjid..jalan ditutup berkilometer bagi menempatkan org solat terawikh..

indah dan nikmat ramadhan tak tercerita, tak dapat dibanding jika di malaysia..