Selamat Menempuh SPM
Semalam, 12 November 2007, bermulalah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Peperiksaan yang begitu penting bagi anak-anak untuk menentu hala tuju mereka selepas ini. Setelah sekian lama berusaha dan berhempas pulas, inilah saat-saat yang mendebarkan.
Dari awal tahun lagi aku dan isteri bersama-sama membantu pihak sekolah menyediakan pelbagai program dan aktiviti untuk mempersiapkan anak kami Abdul Rahman dan juga rakan-rakannya yang lain. Pada tahun ini seramai lebih kurang 76 calon dari Sekolah Menengah Islam Al-Amin menduduki SPM. Aku seringkali mengingatkan anak-anak ini tentang pentingnya mereka berusaha, berdoa dan seterusnya bertawakkal kepada Allah. Doa dan tawakkal tanpa usaha adalah sia-sia dan usaha tanpa doa dan tawakkal adalah satu kesombongan. Apa yang penting, setelah segala penat lelah ditaburkan, adalah untuk berserah kepada ketentuan Allah dan menerima segala apa yang ditentukan itu dengan penuh keredhaan dan berlapang dada. 


Sebagai ibubapa, kami sentiasa mendoakan semua anak-anak Al-Amin demi kejayaan mereka. Matlamat kami bukan sahaja untuk melihat anak-anak ini cemerlang dalam pelajaran mereka, tetapi juga cemerlang dari segi akhlak, sahsiah, keperibadian dan jatidiri. Semoga segala usaha ini akan diberkati Allah demi kecemerlangan ummah di masa hadapan.Selamat berjaya Abdul Rahman. Selamat berjaya anak-anak Al-Amin.

0 comments:
Post a Comment