Mencari Keberkatan
Kehidupan dunia yang penuh dengan pelbagai keindahan dan keseronokan ini seringkali melalaikan aku dari merenung dan memikirkan matlamat sebenar kehidupan ini. Apakah aku mencari kekayaan yang melimpah ruah? Atau pangkat dan sanjungan manusia? Atau hanya mencari keseronokan untuk memuaskan kehendak nafsu semata?
Sememangnya amat susah untuk mendidik jiwa dan hati ini supaya menjadikan kehidupan dunia ini hanya sebagai satu persinggahan menuju akhirat yang abadi. Sehinggakan kadang-kadang aku terlupa soal keberkatan dalam hidup. Bahkan aku kira ramai manusia yang lupa soal keberkatan.... jika tidak masakan ada manusia yang mahu menerima rasuah, menipu, mencuri, ataupun mengambil hak orang lain. Kita lupa bahawa tanpa keberkatan Illahi, sebanyak mana harta yang dihimpun tidak akan memberikan manafaat sedikitpun kepada kita. Bahkan kita akan merasakan ianya tidak pernah cukup-cukup.
Pelbagai gejala yang berlaku sekarang ini ada kaitannya dengan soal keberkatan. Kalau rezeki yang dibawa pulang datang dari sumber yang haram..... apakah kita mengharapkan anak-anak kita yang diberi makan dari sumber yang haram itu akan menjadi anak yang soleh? Apakah keluarga yang dijamu dengan rezeki haram itu akan menjadi keluarga yang diberkati oleh Allah ? Inilah yang selalu kita lupa. Maka bila berlaku pelbagai gejala sosial di kalangan remaja dan anak-anak kita, maka sibuklah kita menyalahkan semua orang... salah guru, salah rakan-rakan mereka, salah kerajaan dan macam-macam lagi. Kita lupa untuk menyalahkan diri kita sendiri. Apakah makan pakai keluarga kita dari rezeki yang halal? Apakah belanja persekolahan anak kita dari sumber yang halal? Apakah kita mengeluarkan zakat ? Apakah pernah kita bersedeqah atau menderma?
Marilah kita sama-sama memperbaiki diri dan keluarga, bertaubat kepada Allah dan berdoa semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita yang lalu dan memberkati saki baki hidup kita ini. Semoga Allah mencurahkan keberkatan dalam kehidupan kita supaya keluarga, masyarakat, dan negara kita akan sentiasa di bawah rahmat dan perlindungan Allah s.w.t


0 comments:
Post a Comment